Wednesday, August 27, 2008

Bingkisan Kasih Aceh 2

Dihadapan posko KKI di Aceh


14 Augustus 2005 Ahad

5.30am
Enak sekali tidurnya di Aitam 3. Tiada gangguan. Nyamuk pun tak terasa. Subuh telah berkumandang. Anak-anak dewasa sebahagiannya telah bersedia untuk solat subuh. Ada juga yang telahpun selesai qiam.

Anak-anak kecil masih enak diperaduan. Enggak mahu bangun. Namun Putri mempunyai formula yang tersendiri. Anak-anak dewasa yang mungkin telah menjadi rutin, menghulurkan segelas air. Setiap anak yang belum bangun disapukan muka mereka dengan air...Pantas terkena air.. anak-anak terus bangun.

Pagi itu kami solat subuh berjamaah bersama anak-anak di DA 3...Cuma Wulan tak bangun-bangun.. khabarnya trauma sukar tidur kerna malam tadi badai seolah-olah mengganas. Wulan teringat tsunami... kasihan.. Ya begitulah.. anak-anak masih lagi terkesan dengan pengalaman tsunami yang dilalui oleh mereka.

Darul Aitam 3 sebuah rumah di kawasan perkampungan Desa Pante, Pagar Air, Kacamatan Ingin Jaya, Aceh Besar. Rumahnya agak sederhana. Punyai 3 bilik yang kecil dan 1 bilik air. Di sini mereka masih menggunakan sumur. Air dipam dari sumur yang terletak betul-betul dalam bilik air. Airnya keruh, payau. Kalau tak kena gaya, kemualan yang dirasai bisa memuntahkan isi perut. Namun mujur tiada isi yang bisa diluahkan. Ana tidak jijik. Namun mungkin kebiasaannya tidak begitu maka secara automatik anggota badan memberikan tindak balas.



Anggota Misi 7 dihadapan DA3


Hari ini agenda telah ditetapkan. Putri beria-ia mengajak kami sarapan. Kamipun mengiakan. Namun agenda yang telah disusun perlu dipatuhi. Kalau tidak akan melambatkan proses tugasan yang telah ditetapkan. Pengalaman sebelum ini di Aceh dijadikan panduan. Anak-anak didapur lagi sibuk menyediakan sarapan untuk semua penghuni. Belum sempat makanan dihidang, kami perlu berangkat kerana ikhwah PKS telah menunggu di luar rumah.

7.00pm
Kami singgah sarapan di gerai tepi jalan. Makanan Aceh tak jauh bezanya dengan makanan Melayu di Malaysia. Cuma mungkin di Medan makanannya agak pedas. Masakan Padang. Kali pertama ana ke Aceh, merasa juga perut memulas tak tahan dengan kepedasan masakan padang Medan. Namun sehari sahaja. Hari-hari berikutnya.. wah keenakan mula terasa. Terutama jus buah Aceh. Antara jus yang sedap, jus terung belanda. Sampai balik Malaysia pun masih teringat.

Selesai mengalas perut, Misi 7 mula bergerak menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Oleh kerana masih ada masa, kami pulang dulu ke DA3. Ikhwah pun akan ke sana kerana agenda pagi kami pada hari kedua ialah di Darul Aitam 3.

Oleh kerana waktu pagi anak-anak sibuk di dapur jadi kami tak kesempatan mandi. Sementara menunggu kedatangan rasmi Misi 7 di DA3, kami ambil peluang membersihkan diri. Mandi.

Anak-anak Aitam 3 mandi di rumah mandi umum di perkampungan tersebut. Sumber airnya sumur. Pagi itu dapatlah kami merasakan kesegaran air sumur dan bau asli tanah yang berpadu dengan air. Terimbau pengalaman zaman kanak-kanak mandi sumur di rumah atuk kerana bekalan air paip masih tiada.

9.00am
Ahli Misi 7 Ikhwah telahpun sampai di DA 3. Foto-foto ditangkap oleh ahli misi untuk dokumentasi. Teringat kali pertama ke Aceh. Kalau nak tangkap gambar/foto Pak Abu akan berkata, “usah ditangkap-tangkap fotonya... diambil aja..” maka derai tawa pun memecah sunyi...


Sebahagian anak-anak di DA3

Kami terus berbicara dan berbincang tentang perkembangan dan keperluan anak-anak di DA 3. Misi 7 meminta Putri menceritakan masalah dan keperluan yang mendesak. Macam ‘open table’.. maka macam-macam yang diminta. Mesin jahit, mesih cuci pakaian, air dari pemerintah dan pelbagai lagi. Namun itulah hasrat insan, hasrat seperti kita juga. Walaupun tidak hidup mewah tapi tetap mahu selesa. Namun di DA 3 tidaklah seselesa mana. Rumah yang agak sempit untuk menampung 25 anak-anak dan 3 pengasuh. Namun mereka redha dan bersabar… kehidupan dijalani seperti biasa.

Selesai berbincang, Wan Zukri menjalankan tugas medianya. Menemuramah Putri dan anak-anak di DA 3 satu persatu. Walaupun kecil, anak-anak ini dihiasi sifat pemalu. Jadi jururakam kamera dialihkan ke tangan ana.


Sesi temuramah


Sebelum berangkat ke aktiviti lain, dana disampaikan. Sajak Anak Aceh yang ana karang juga diserahkan.

Dana dan Ole-ole dari Malaysia disampaikan


10.30am
Selesai di DA 3, perjalanan diteruskan ke Ketapang. Ustaz Irawan telah menunggu di Dayah Darul Hijrah bersama anak-anak pelajar. Pelajar berkumpul di surau.



Surau masih baru. Papannya masih asal. Masih belum bercat. Lantainya simen biasa beralaskan tikar. Ana mendongak ke syiling. Seperti biasa, tiada kipas. Ruang dalam surau lapang sahaja. Tapi uniknya surau atau masjid di Aceh, pintunya banyak. Tanpa perlu kipas, udara segar akan menerpa wajah dan mendinginkan tubuh badan.

Dayah Darul Hijrah masih menumpang di bangunan institusi lain. Mereka menyewa. Bangunan asal dayah mereka di Krueng Raya. Di tempat asal Dayah mereka ada asrama. Ada gelanggang basket ball. Ada makmal komputer. Ada kolam ikan. Namun semua itu telah musnah. Semuanya telah rosak. Tidak boleh diguna lagi.


Dayah Darul Hijrah menumpang dibangunan ini yg juga sederhana

Sebelum ini mereka ada 47 orang pelajar. Selepas tsunami ada yang dihantar ke Jakarta untuk meneruskan pengajian yang terhenti selepas tsunami. Namun kini semuanya sudah kembali ke dayah ini. Malahan pelajar telah bertambah. Dari 47 orang kepada 68 orang. 47 orang ditaja olej JIM pendidikan mereka. Selebihnya masih tiada penajaan. Tapi sesetengah yang baru ini bukanlah mangsa tsunami.

Kedatangan JIM amat dinantikan. Mereka rasa terbela kerana masih ada yang sudi menjengah kesusahan mereka dan menghulurkan bantuan.

Selepas diperkenalkan kepada pelajar, Aizuddin ahli misi 7 memberikan sedikit cerita nasihat untuk anak-anak. Habis penyampaian beliau, giliran akhawat pula, maryam. Wah, sungguh tak sangka, maryam rupanya pandai memberikan ‘talk’. Nampak lembut, tapi bila bagi talk berkobar-kobar...kenapa tak diserlahkan lagi potensi ini dalam KARISMA di Malaysia? Hati ana tertanya-tanya... adalah tu.. sedang digilap lagi kot.

Adik-adik mendengar dengan khusyuk ucapan dari seorang kakak yang berusia 21 tahun tapi dah selesai S1 (ijazah pertama). First Class pulak tu. Malah akan menyambung S2 (Master) hujung tahun ini. Anak-anak teruja dengan kecemerlangan Maryam. Moga ia juga akan jadi satu sumbangan kita melalui JIM International dan belia IPT di Aceh… bak kata Ustaz Raihan.. “wang bukanlah segala-galanya bagi kami…..”

Sebelum usai majlis, ana diminta membacakan sajak anak Aceh. Yah, dibacakan saja walau suara dah macam ala-ala Ella. Entah mengapa sajak yang lahir dari hati itu pasti meruntun perasaan. Di hujung sajak, air mata takmampu ditahan lagi...

Dalam sajak ana minta doakan untuk datang ke Aceh lagi.. alhamdulillah terkabul hasrat dihati. Lantas Ustaz Irawan terus membuat penyataan.. “lepas ni kita doakan ukhtie Hamisah tinggal terus aja di sini” sambil ketawa bersama ahli-ahli misi yang lain...


Sebahagian pelajar lelaki di Dayah Darul Hijrah



Mariam Jailini memberi kata-kata semangat kepada anak-anak di Dayah


Sedikit sumbangan disampaikan kepada pengerusi Dayah - Ustaz Irawan


1.50pm
Program bersama dayah usai. Ahli misi bergerak untuk menundukkan diri pada Ilahi. Solat Zohor dan Asar. Selepas solat perut yang berirama keroncong diisi. Pastinya jus terung belanda yang dipesan kerana keenakannya. Walaupun suara sudah bertukar nada, jus buah Aceh tetap menjadi pilihan.

2.30pm
Tanggungjawab diri telah terlaksana. Ahli misi bergerak untuk meninjau projek mesin jahit pula. Kami bergerak ke pejabat SUWA di Long Raya. Berjumpa Juliani.

Juliani adalah akhawat tempat ana menumpang semasa misi 3 di rumah anak yatim Lampeneurut. Masa misi 3 beliau masih bujang. Sekarang telah berkahwin. Sambil tersenyum beliau memegang perutnya.. “Kak Misah.. ni sudah ada. Dua bulan”. Ana membalas senyum beliau dan berkata “alhamdulillah..”

Gembira. Gembira kerana mereka juga mangsa tsunami. Kemusnahan dan kehilangan keluarga juga teruk. Di tambah perlu menjaga anak-anak yatim. Maka Ibu Andi ketua SUWA memainkan peranan agar mereka ini segera dinikahkan. Yuli juga telah bernikah. Hijrah pengasuh DA 3 bersama putri juga telah bernikah. 3 September, Putri pula akan bernikah. Alhamdulilah.

Sibuk membuat laporan tentang penggunaan mesin jahit sumbangan JIM


Masalah yang diluar jangka. Itulah pesanan keramat Timbalan Presiden JIM semasa mula-mula nak ke Aceh. Pesanan tu masih berguna. Van yang kami tunggu untuk membawa ahli misi ke Kajoo bocor tayarnya. Perlu diganti. Kami terkandas lebih satu jam di SUWA.

Sambil menunggu ana dan Juli bertanya khabar lebih jauh. Antara perkembangan yang beliau tanya sudah tentu pasal perkahwinan sebab ana masih lagi bujang. Beliau hairan kerana sepengetahuannya ada ikhwah di Malaysia yang telah berumur 30an tapi masih membujang. “Mengapa enggak mahu kahwin” bilangnya. Sudah pasti ‘sample’ beliau adalah ahli misi 2. Mungkin juga sample beliau itu satu kebetulan yang betul.. wallahu’alam. Ana cuma mampu menjawab, "ya belum ada jodohnya". "Pilih aja kak Misah ikhwah-ikhwahnya". Ana hanya mampu tersenyum.. kalau boleh dipilih-pilih kata hati ana...

3.30pm
Van SUWA tiba. Kami teruskan perjalanan ke Kaju. Perjalanan mengambil masa 45 minit. Menuju Baitussalam, Barak Cadik. Di situ ada mesin jahit hasil sumbangan misi JIM.

Gembira sekali pengungsi menerima kehadiran kami. Bagi ana, paling menyeronokkan melihat sumbangan material misi JIM telah membuahkan hasil. Ana melihat beberapa helai tudung kanak-kanak yang telah dijahit dan membeli untuk dibawa pulang ke Malaysia. Untuk dipamerkan dan dijual bagi menyatakan sokongan kepada pengungsi di Aceh. "kalau lagi cantik-cantik, kami bisa bawa pulang ke Malaysia. Dijual di sana. Nanti hasilnya bisa bantu rakyat Aceh lagi ya buk". Begitu ana melayani dan meladeni mereka. Hati puas. Walau sedikit sumbangan dari JIM tapi amat bermakna buat mereka.

Hasil Jahitan Pengungsi

Model tudung yg telah siap

6.00pm
Oleh kerana sore telah tiba, lawatan melihat projek mesin jahit ditangguhkan ke keesokan hari. Kami meneruskan agenda yang telah disusun iaitu rapat bersama mahasiswa Unsyiah dan IAIN (Institut Agama Islam Negeri). 11 ikhwah dan 9 akhawat mahasiswa hadir pada malam tersebut.

Wajah pemuda. Belia. Halaqah sebegini memang ana nanti-nantikan. Melihat wajah pemuda sebegini hati menjadi muda sentiasa. Semangatpun muda. Terasa umur awal 20an walaupun sekarang telah menjangkau seabad ke depan.

Pertemuan dimulakan dengan taaruf. Bermula dengan ahli misi 7,langsung kepada mahasiswa. Seperti biasa kalau sesi taaruf, ikhwah akan menggunakan kod pengenalan. Di kalangan ahli misi ini ada kod yang agak ganjil. Selalunya kod pengenalan ini memecahkan keseriusan dalam satu-satu perjumpaan. Menceriakan majlis dengan tawa.

Mahasiswa yang hadir dalam rapat kami

Ketua KAMMI Aceh bernama Junaidi. Gelarannya Jundi. Wah, macam JunduLLAh. Sebelum ini ketua mereka Zulfikar. Zulfikar datang agak lewat. Sedang kami taaruf beliau sampai. Kebetulan ketika beliau sedang duduk, teman disebelahnya baru selesai taaruf. Beliau lantas menyambung dan mengalukan-alukan kedatangan kami dan mula membuka perbincangan. Ahli halaqah mula mengukir senyuman sehingga Zulfikar terasa hairan. “Kami sedang taaruf” bilang salah seorang rakan beliau. Maka derai tawa pun pecah.

Waktu petang telah agak suntuk. Sedang rapat azan berkumandang. Ikhwah solat di Masjid. Akhawat solat di rumah para mahasiswi. Baru ana tahu memang mereka ada markas atau rumah jamaah seperti akhawat di UKM. Inilah peluang yang ana cari dan nanti-nantikan. Selesai solat kami sambung rapat. Sebelum itu ana memberitahu hasrat mahu menginap di rumah mereka sebelum pulang. Bagai pucuk di cita ulam mendatang, saranan ana disambut penuh gembira. "Jangan lupa ya Kak Misah. Nginap di sini. Kita MABIT bersma ya. Kami tunggu."

8.30pm
Rapat diteruskan. Mahasiswa mangsa tsunami telah dapat pembelaan. Mereka diberikan yuran gratis sehingga tamat kuliah. Bagi Unsyiah dan juga IAIN. Zulfikar menerangkan kepada kami. Wah, ini sudah bangus getus hati ana. “Kami demo untuk mendapatkan hak ini”, dengan penuh semangat Zulfikar memberi tahu kami. Alhamdulillah. Tinggi sekali semangat perjuangan mereka. Pantang ada ketidakpuasaan. Demo aja. Gabenor Aceh pun bisa di penjara 15 tahun kerana korupsi. Semasa dalam kenderaan Marlizal bicara “kami tu kak misah sama-sama demo untuk jatuhkan Gabenor Aceh”. Ana hanya mampu mengeluarkan kata “masyaAllah..hebat mahasiswa Aceh ni ya”. Dalam hati teringatkan keadaan di Malaysia. “Malaysia bisa berjaya kalau nasyidnya diubah”. Itu komen Ustaz Yassir. Ana tak ingat siapa yang memberitahu.

10.00pm
Setelah selesai rapat misi memutuskan untuk menyumbang dana. 13 juta rupiah diserahkan bagi membantu mereka membeli komputer.

Sewaktu pulang kami singgah di IKADI (Ikatan Daie Indonesia). IKADI masih di bawah KKI. Punyanya PKS tapi dalam bentuk NGO. Kami dapatkan data-data kristianisasi kerana mereka pakar dalam bab ini. IKADI membuat aktiviti “Tebaran 1000 Daie” di barak-barak untuk memantau kristianisasi. Oleh kerana malam semakin larut. Kami memesan sahaja keperluan data dan akan diserahkan sebelum pulang ke Malaysia.


12.00am

Kami sampai di DA3. Anak-anak kecil sudah tidur. Anak-anak yang besar masih menunggu kami pulang. Sayang sekali tidak dapat bersama mereka seharian. Tugasan harus diselesaikan kerana esok 3 orang ikhwah akan ke Meulaboh.

Kepenatan menggigit tubuh. Oleh kerana semua sudah lena dan anak-anak yang menunggu kami tadi beransur ke kamar, kami pun mencari ‘parking’ masing-masing untuk merehatkan jasad bagi meneruskan aktiviti esok hari...


Bersambung...

0 comments:

 
template by suckmylolly.com