Monday, August 25, 2008

Bingkisan Kasih Aceh 1

13 Agustus 2005

11.00am
Pesawat Adamair mendarat di bandara Banda Aceh. Suasana agak lengang. Namun terdapat beberapa orang polisi sedang berkawal di sekitar ruang legar bandara berkenaan. Ketika ini pihak berwajib agak berjaga-jaga kerana 15 Agustus perjanjian damai akan ditandatangani antara GAM dan TNI di Helinski, Aceh.

Ahli Misi 7 agak termanggu kerana tiada seorangpun yang menunggu kami di bandara tersebut. Lantas Ketua misi, Selamat Aliman terus menghubungi Ustaz Razali ketua KKI di Aceh. Dikabarkan berlaku sedikit salah faham kerana mereka menjangkakan misi 7 akan sampai waktu petang di bandara. Jadi kami menunggu saja kedatangan ustaz Irawan.

Sedang asyik menunggu sambil berbincang serba sedikit tentang tugasan misi 7, sampai sebuah land crusier. Lantas seorang lelaki yang berbadan tegap tanpa sehelai rambut di kepalanya, menyapa kami. “mahu ke mana pak? Ayuh naik mobil”. Ana terus meluru ke arah mobil. Namun terhenti seketika kerana was-was. Terasa dihati.. "ini bukan ikhwah PKS ni". Cara dan lagaknya agak kasar dan tak mungkin itu ikhwah PKS. Ana mundur ke belakang semula dan menasihatkan agar ikhwah tdak melayani lelaki ini. Alhamdulillah sejurus itu ustaz Irawan menyusul di belakang land crusier tersebut. Hati terus melonjak gembira kerana terlepas dari kerenah rakyat tempatan yang suka memeras kedatangan orang asing.

Namun bukan land crusier yang menanti kami seperti biasa tapi sebuah lori atau ‘pick up’. Apalagi.. ikhwah seperti biasa akan memastikan akhawat akan mendapat tempat yang selesa. Jadi dua orang akhawat berada di hadapan berhampiran pemandu. Manakala ikhwah di belakang bersama tempat barang-barang : open air.




Pick Up yang menunggu kedatangan kami

Kami terus dibawa makan tengahari di sebelah pejabat lama KKI. Pejabat tersebut sekarang telah berpindah ke KM 5, Kacamatan Ingin Jaya. Sebagai orang yang baru sampai di Aceh, Wan Zukri dan Abd Rashid, terus pekena mee Aceh. Wah berselera sekali! Selesai makan kami terus ke pejabat KKI yang baru.


1.45pm
Pejabat yang baru dihadapannya surau. Pejabat lama sebelum ni pun di sebelahnya surau. Ana rasa mereka memang sengaja mencari pejabat yang berhampiran dengan tempat solat. Pejabat KKI yang baru lebih besar dan luas. Bilik tetamu pun ada. Dengan penghawa dingin sekali.

Setelah selesai solat, kami terus rapat(mesyuarat). Objektif utama menyusun aktiviti agar segala tugasan dapat dilaksanakan dengan baik. Tambahan pula 3 orang ikhwah akan berangkat ke Meulaboh menggunakan pesawat udara. Bersama kami dalam rapat tersebut ialah Ustaz Ghufran (WAMY Indonesia), Ustaz Irawan, Ustaz Razali dan Said Iskandar.

Sesi rapat dimulakan dengan taaruf. Dalam sesi tersebut kami diperkenalkan dengan ustaz Ghufran yang selama ini berkhidmat di Sekolah ADNI di Malaysia. Beliau telah diarahkan pulang untuk menerajui WAMY di Indonesia setelah berada di Malaysia lebih sepuluh tahun. Begitulah tarbiyyah mereka. Saat ketika arahan dilakukan, akan segera dilaksanakan tanpa banyak soal.

Usai taaruf, kami mula menyusun gerak kerja sepanjang berada di Banda Aceh. Melihat kepada kekangan masa, kami bersetuju untuk memulakan aktiviti di Banda Aceh dengan pertemuan bersama mahasiswa Unsyiah(Universiti Syah Kuala) dan IAIN.

Pejabat WAMY-ACEH

3.00pm
Mesyuarat usai. Bagi mengisi waktu sore hari pertama kami di Banda Aceh, Ustaz Ghufran iaitu Presiden WAMY Indonesia (WAMY yang bakal dilancarkan), menawarkan kami mobil WAMY untuk membawa kami mengenali waqi’ di Ule Lhee . Ketika persiapan untuk berangkat, seorang pemuda belia bertanya, “siapa yang kak misah nya?”. Lantas ana pun menoleh ke arahnya dan berkata “ana kak misah”. “MasyaAllah..mengapa kak Hamisah tidak hubungi ana semasa sampai..”. banyak sekali ngomelannya dan persoalannya. Jelas sekali kekecewaaan yang tergambar di wajah anak muda ini.

Muda, begitu muda. Seperti adik-adik ikhwah karisma di Malaysia agaknya usia beliau. Namanya Donni. Orangnya tinggi lampai tapi berbadan tegap. Beliau merasa kecewa kerana gagal melaksanakan tugas memjemput kami. Bagi ana bukan gagal cuma salah maklumat. Namun bagi beliau, satu kegagalan kerana tidak menyempurnakan amanah yang telah diletakkan oleh ketuanya dalam menyambut rombongan dari Malaysia. Ada banyak yang tersirat dalam perbualan ana dengan anak muda ini. Namun yang nyata, melihat wajah dan lagaknya, lagi sekali ana teringat adik-adik ikhwah karisma di Malaysia.

Perjalanan kami menggunakan dua buah mobil. Ikhwah bersama Ustaz Ghufran dan Donni. Manakala ana dan maryam bersama dua orang lagi anak muda PKS. Kedua-duanya baru habis belajar. Aidil Azhar dan Marlizal. Umur mereka 23 tahun. Aidil mengurus bahagian kewangan dalam pengurusan anak-anak yatim. Manakala Marlizal pula membantu anak-anak yatim di bawah ustaz Yassir. Melihat kedua mereka ana kagum. Lantas lagi-lagi fikiran terus terbang teringatkan adik-adik sebaya mereka dalam karisma di Malaysia. Bagaimanakah adik-adikku di Malaysia?

Buat ana yang kali kedua ke Aceh, perjalanan ke Ule Lhee suatu yang biasa. Tidak seperti sebelumnya. Namun pemandangan kali ini ada perubahan. Kalau dulu dalam bulan Februari perjalanan kami agak sunyi. Tiada aktiviti. Amat jarang penduduk yang dijumpai. Yang ada hanya sisa runtuhan bangunan dan pemandangan yang menyedihkan, menggerunkan dan menginsafkan. Tapi kini penduduk telah semakin ramai berkeliaran dan melakukan aktiviti seperti biasa. Walaupun tidak kembali normal seperti sebelum tsunami namun sekurang-kurangnya suasana telah menjadi semakin hidup.


Sebahagian pemandangan ke Ule Lhee

Kami kembali ke Masjid Baiturrahim di Ule Lhee. Masjid yang terletak di tepi laut. Bangunan pertama menerima terjahan tsunami tapi masih kukuh. Kali ini masjid ini telah semakin pulih. Sedang diperbaiki. Di sebelah kanan masjid tersebut kelihatan sebuah feri agak besar. Terolang-aling dibuai alunan air laut. Feri ini digunakan sebagai pengangkutan untuk ke Pulau Sabang. Dulu tiada feri. Di situ juga telah terdiri sebuah pusat penapisan air kepunyaan bulan sabit merah Indonesia. Dulu bangunan itu tiada. Di kawasan itu dulu kosong dan sepi..Kami berkesempatan masuk ke kawasan penapisan air tersebut. Mengambil beberapa foto untuk dokumentasi.

Kawasan Penapisan Air

Sesekali angin menerpa keras. Menurut ikhwah PKS, angin di Aceh semakin kencang selepas tsunami. Mungkin dek kerana tanah yang tiada lagi pepohon menghalang hembusan-hembusan angin tersebut yang telah terang diragut tsunami beberapa bulan lepas. Beberapa minit berlegar di kawasan tersebut kami pun mula bergerak pulang. Dalam hayunan langkah yang kami atur lantas ustaz Ghufran berbicara, “Semua Bulan Sabit, punyanya ikhwah kecuali Malaysia”. Dalam senyuman lantas beliau meneruskan bicaranya, “semua WAMY punyanya ikhwah, kecuali di Malaysia..”. Mengapa? Ia.. ana tiada jawapan. Cuma hati terus dicuit rasa rendah diri dan malu..

Lawatan kami sampai ke Kapal Jana Elektrik di Punge Blancut. Kapal itu masih di situ tersergam gagah. Bagi yang pertama kali ke Aceh, pasti terasa sedikit kepuasan dgn lawatan tersebut. Ya, sudah pasti melihat sendiri kesan terjangan tsunami tidak sama dengan melihat foto.

Kapal Jana Elektrik asalnya berada Jauh di tengah laut..
6.00pm
Lawatan telah selesai. Perut mulai bernyanyi lagu keroncong untuk di isi. Hati pula terus digamit rindu, kapan bertemu anak-anak di Darul Aitam 3... Putri Pengasuh Aitam 3 telah diberitakan tentang kedatangan kami.. anak-anak dirumah menunggu untuk makan malam sekali. Aduh..gi mana ini? Donni bilang anak-anak enggak mahu makan. Mahu tunggu kak misah. Namun ikhwah sudahpun berada di salah sebuah restoran. Apakan daya. Donni meminta Putri memujuk anak-anak untuk makan dahulu.

Selesai makan, ana dan maryam terus dihantar ke Darul Aitam3. Sampai di Aitam tiga dah hampir manghrib. Sebaik anak sampai kelihatan anak-anak telah berada di luar rumah. Sebaik keluar dari mobil anak-anak mula menjerit..”kak misah...kak misah...” Aduh..begitulah anak-anak Aitam 3. Sampai di kaki tangga aku terus dipaut Desi. Pipiku dicium bertubi-tubi. Lepas Desi sudah pasti Wulan. Ya..pelukan mereka bergayutan enggak bisa dilepaskan. Semua anak-anak mengeremuni dan tidak melepaskan peluang memeluk dan mencium pipiku melepas rindu. Maryam yang baru sampai juga menerimakan sambutan yang sama. Agak lama juga melayani kerinduan masing-masing.



Anak-anak di Darul Aitam 3


8.00pm
Di luar angin menderu kencang. Lama kelamaan angin kencang disusuli dengan hujan. Semakin lama semakin lebat. Setelah selesai solat, kami terus menunggu ikhwah untuk bertemu mahasiswa. Namun dengan cuaca yang tidak mengizinkan ditambah pula mahasiswa sendiri tidak berkelapangan, malam pertama di Aceh diisi dengan istirehat untuk berhadapan dengan aktiviti esoknya. Ustaz Yassir mampir ke Aitam 3 menyampaikan berita pembatalan rancangan tersebut. Khabar beliau “ikhwah sedang lena di KKI… pertemuan yang dirancangkan dibatalkan”. Lantas kami pun bersama anak-anak Aitam 3 melayari malam yang semakin pekat dan hujan yang semakin lebat. Sebelum masuk ke kamar masing-masing anak-anak mula merayu.. “kak di bilik kami.. kak di bilik kami.....” entah jam berapa kami terlena. Namun yang pasti..kami tidur lena bersama kesesakan anak-anak yatim di Darul Aitam 3...



Bersambung...

0 comments:

 
template by suckmylolly.com