Wednesday, December 3, 2008

Bicara Tanpa Suara

Yang berkata cuma hati
bicara dan bicara lagi
bicara dengan diri sendiri

lautan dihatiku bergelora
ada sang badai sedang mengusik rasa
walau diketahui pantang larang ketika pelayaran
namun itu yang suka diduga

lambungan ombak
arus di muara
membuai rasa
entah bila kan reda

bicara hati ini berkata-kata lagi dan lagi
aku ingin terbang tinggi
aku ingin mencari destinasi
aku tak ingin kembali lagi ke sini

Ohh.. sedarlah aku..
aku adalah aku
bicara diam yang bisu
aku adalah aku
ingin menjadi aku
dlm redhaMu
bantulah...

Wednesday, August 27, 2008

Bingkisan Kasih Aceh 2

Dihadapan posko KKI di Aceh


14 Augustus 2005 Ahad

5.30am
Enak sekali tidurnya di Aitam 3. Tiada gangguan. Nyamuk pun tak terasa. Subuh telah berkumandang. Anak-anak dewasa sebahagiannya telah bersedia untuk solat subuh. Ada juga yang telahpun selesai qiam.

Anak-anak kecil masih enak diperaduan. Enggak mahu bangun. Namun Putri mempunyai formula yang tersendiri. Anak-anak dewasa yang mungkin telah menjadi rutin, menghulurkan segelas air. Setiap anak yang belum bangun disapukan muka mereka dengan air...Pantas terkena air.. anak-anak terus bangun.

Pagi itu kami solat subuh berjamaah bersama anak-anak di DA 3...Cuma Wulan tak bangun-bangun.. khabarnya trauma sukar tidur kerna malam tadi badai seolah-olah mengganas. Wulan teringat tsunami... kasihan.. Ya begitulah.. anak-anak masih lagi terkesan dengan pengalaman tsunami yang dilalui oleh mereka.

Darul Aitam 3 sebuah rumah di kawasan perkampungan Desa Pante, Pagar Air, Kacamatan Ingin Jaya, Aceh Besar. Rumahnya agak sederhana. Punyai 3 bilik yang kecil dan 1 bilik air. Di sini mereka masih menggunakan sumur. Air dipam dari sumur yang terletak betul-betul dalam bilik air. Airnya keruh, payau. Kalau tak kena gaya, kemualan yang dirasai bisa memuntahkan isi perut. Namun mujur tiada isi yang bisa diluahkan. Ana tidak jijik. Namun mungkin kebiasaannya tidak begitu maka secara automatik anggota badan memberikan tindak balas.



Anggota Misi 7 dihadapan DA3


Hari ini agenda telah ditetapkan. Putri beria-ia mengajak kami sarapan. Kamipun mengiakan. Namun agenda yang telah disusun perlu dipatuhi. Kalau tidak akan melambatkan proses tugasan yang telah ditetapkan. Pengalaman sebelum ini di Aceh dijadikan panduan. Anak-anak didapur lagi sibuk menyediakan sarapan untuk semua penghuni. Belum sempat makanan dihidang, kami perlu berangkat kerana ikhwah PKS telah menunggu di luar rumah.

7.00pm
Kami singgah sarapan di gerai tepi jalan. Makanan Aceh tak jauh bezanya dengan makanan Melayu di Malaysia. Cuma mungkin di Medan makanannya agak pedas. Masakan Padang. Kali pertama ana ke Aceh, merasa juga perut memulas tak tahan dengan kepedasan masakan padang Medan. Namun sehari sahaja. Hari-hari berikutnya.. wah keenakan mula terasa. Terutama jus buah Aceh. Antara jus yang sedap, jus terung belanda. Sampai balik Malaysia pun masih teringat.

Selesai mengalas perut, Misi 7 mula bergerak menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Oleh kerana masih ada masa, kami pulang dulu ke DA3. Ikhwah pun akan ke sana kerana agenda pagi kami pada hari kedua ialah di Darul Aitam 3.

Oleh kerana waktu pagi anak-anak sibuk di dapur jadi kami tak kesempatan mandi. Sementara menunggu kedatangan rasmi Misi 7 di DA3, kami ambil peluang membersihkan diri. Mandi.

Anak-anak Aitam 3 mandi di rumah mandi umum di perkampungan tersebut. Sumber airnya sumur. Pagi itu dapatlah kami merasakan kesegaran air sumur dan bau asli tanah yang berpadu dengan air. Terimbau pengalaman zaman kanak-kanak mandi sumur di rumah atuk kerana bekalan air paip masih tiada.

9.00am
Ahli Misi 7 Ikhwah telahpun sampai di DA 3. Foto-foto ditangkap oleh ahli misi untuk dokumentasi. Teringat kali pertama ke Aceh. Kalau nak tangkap gambar/foto Pak Abu akan berkata, “usah ditangkap-tangkap fotonya... diambil aja..” maka derai tawa pun memecah sunyi...


Sebahagian anak-anak di DA3

Kami terus berbicara dan berbincang tentang perkembangan dan keperluan anak-anak di DA 3. Misi 7 meminta Putri menceritakan masalah dan keperluan yang mendesak. Macam ‘open table’.. maka macam-macam yang diminta. Mesin jahit, mesih cuci pakaian, air dari pemerintah dan pelbagai lagi. Namun itulah hasrat insan, hasrat seperti kita juga. Walaupun tidak hidup mewah tapi tetap mahu selesa. Namun di DA 3 tidaklah seselesa mana. Rumah yang agak sempit untuk menampung 25 anak-anak dan 3 pengasuh. Namun mereka redha dan bersabar… kehidupan dijalani seperti biasa.

Selesai berbincang, Wan Zukri menjalankan tugas medianya. Menemuramah Putri dan anak-anak di DA 3 satu persatu. Walaupun kecil, anak-anak ini dihiasi sifat pemalu. Jadi jururakam kamera dialihkan ke tangan ana.


Sesi temuramah


Sebelum berangkat ke aktiviti lain, dana disampaikan. Sajak Anak Aceh yang ana karang juga diserahkan.

Dana dan Ole-ole dari Malaysia disampaikan


10.30am
Selesai di DA 3, perjalanan diteruskan ke Ketapang. Ustaz Irawan telah menunggu di Dayah Darul Hijrah bersama anak-anak pelajar. Pelajar berkumpul di surau.



Surau masih baru. Papannya masih asal. Masih belum bercat. Lantainya simen biasa beralaskan tikar. Ana mendongak ke syiling. Seperti biasa, tiada kipas. Ruang dalam surau lapang sahaja. Tapi uniknya surau atau masjid di Aceh, pintunya banyak. Tanpa perlu kipas, udara segar akan menerpa wajah dan mendinginkan tubuh badan.

Dayah Darul Hijrah masih menumpang di bangunan institusi lain. Mereka menyewa. Bangunan asal dayah mereka di Krueng Raya. Di tempat asal Dayah mereka ada asrama. Ada gelanggang basket ball. Ada makmal komputer. Ada kolam ikan. Namun semua itu telah musnah. Semuanya telah rosak. Tidak boleh diguna lagi.


Dayah Darul Hijrah menumpang dibangunan ini yg juga sederhana

Sebelum ini mereka ada 47 orang pelajar. Selepas tsunami ada yang dihantar ke Jakarta untuk meneruskan pengajian yang terhenti selepas tsunami. Namun kini semuanya sudah kembali ke dayah ini. Malahan pelajar telah bertambah. Dari 47 orang kepada 68 orang. 47 orang ditaja olej JIM pendidikan mereka. Selebihnya masih tiada penajaan. Tapi sesetengah yang baru ini bukanlah mangsa tsunami.

Kedatangan JIM amat dinantikan. Mereka rasa terbela kerana masih ada yang sudi menjengah kesusahan mereka dan menghulurkan bantuan.

Selepas diperkenalkan kepada pelajar, Aizuddin ahli misi 7 memberikan sedikit cerita nasihat untuk anak-anak. Habis penyampaian beliau, giliran akhawat pula, maryam. Wah, sungguh tak sangka, maryam rupanya pandai memberikan ‘talk’. Nampak lembut, tapi bila bagi talk berkobar-kobar...kenapa tak diserlahkan lagi potensi ini dalam KARISMA di Malaysia? Hati ana tertanya-tanya... adalah tu.. sedang digilap lagi kot.

Adik-adik mendengar dengan khusyuk ucapan dari seorang kakak yang berusia 21 tahun tapi dah selesai S1 (ijazah pertama). First Class pulak tu. Malah akan menyambung S2 (Master) hujung tahun ini. Anak-anak teruja dengan kecemerlangan Maryam. Moga ia juga akan jadi satu sumbangan kita melalui JIM International dan belia IPT di Aceh… bak kata Ustaz Raihan.. “wang bukanlah segala-galanya bagi kami…..”

Sebelum usai majlis, ana diminta membacakan sajak anak Aceh. Yah, dibacakan saja walau suara dah macam ala-ala Ella. Entah mengapa sajak yang lahir dari hati itu pasti meruntun perasaan. Di hujung sajak, air mata takmampu ditahan lagi...

Dalam sajak ana minta doakan untuk datang ke Aceh lagi.. alhamdulillah terkabul hasrat dihati. Lantas Ustaz Irawan terus membuat penyataan.. “lepas ni kita doakan ukhtie Hamisah tinggal terus aja di sini” sambil ketawa bersama ahli-ahli misi yang lain...


Sebahagian pelajar lelaki di Dayah Darul Hijrah



Mariam Jailini memberi kata-kata semangat kepada anak-anak di Dayah


Sedikit sumbangan disampaikan kepada pengerusi Dayah - Ustaz Irawan


1.50pm
Program bersama dayah usai. Ahli misi bergerak untuk menundukkan diri pada Ilahi. Solat Zohor dan Asar. Selepas solat perut yang berirama keroncong diisi. Pastinya jus terung belanda yang dipesan kerana keenakannya. Walaupun suara sudah bertukar nada, jus buah Aceh tetap menjadi pilihan.

2.30pm
Tanggungjawab diri telah terlaksana. Ahli misi bergerak untuk meninjau projek mesin jahit pula. Kami bergerak ke pejabat SUWA di Long Raya. Berjumpa Juliani.

Juliani adalah akhawat tempat ana menumpang semasa misi 3 di rumah anak yatim Lampeneurut. Masa misi 3 beliau masih bujang. Sekarang telah berkahwin. Sambil tersenyum beliau memegang perutnya.. “Kak Misah.. ni sudah ada. Dua bulan”. Ana membalas senyum beliau dan berkata “alhamdulillah..”

Gembira. Gembira kerana mereka juga mangsa tsunami. Kemusnahan dan kehilangan keluarga juga teruk. Di tambah perlu menjaga anak-anak yatim. Maka Ibu Andi ketua SUWA memainkan peranan agar mereka ini segera dinikahkan. Yuli juga telah bernikah. Hijrah pengasuh DA 3 bersama putri juga telah bernikah. 3 September, Putri pula akan bernikah. Alhamdulilah.

Sibuk membuat laporan tentang penggunaan mesin jahit sumbangan JIM


Masalah yang diluar jangka. Itulah pesanan keramat Timbalan Presiden JIM semasa mula-mula nak ke Aceh. Pesanan tu masih berguna. Van yang kami tunggu untuk membawa ahli misi ke Kajoo bocor tayarnya. Perlu diganti. Kami terkandas lebih satu jam di SUWA.

Sambil menunggu ana dan Juli bertanya khabar lebih jauh. Antara perkembangan yang beliau tanya sudah tentu pasal perkahwinan sebab ana masih lagi bujang. Beliau hairan kerana sepengetahuannya ada ikhwah di Malaysia yang telah berumur 30an tapi masih membujang. “Mengapa enggak mahu kahwin” bilangnya. Sudah pasti ‘sample’ beliau adalah ahli misi 2. Mungkin juga sample beliau itu satu kebetulan yang betul.. wallahu’alam. Ana cuma mampu menjawab, "ya belum ada jodohnya". "Pilih aja kak Misah ikhwah-ikhwahnya". Ana hanya mampu tersenyum.. kalau boleh dipilih-pilih kata hati ana...

3.30pm
Van SUWA tiba. Kami teruskan perjalanan ke Kaju. Perjalanan mengambil masa 45 minit. Menuju Baitussalam, Barak Cadik. Di situ ada mesin jahit hasil sumbangan misi JIM.

Gembira sekali pengungsi menerima kehadiran kami. Bagi ana, paling menyeronokkan melihat sumbangan material misi JIM telah membuahkan hasil. Ana melihat beberapa helai tudung kanak-kanak yang telah dijahit dan membeli untuk dibawa pulang ke Malaysia. Untuk dipamerkan dan dijual bagi menyatakan sokongan kepada pengungsi di Aceh. "kalau lagi cantik-cantik, kami bisa bawa pulang ke Malaysia. Dijual di sana. Nanti hasilnya bisa bantu rakyat Aceh lagi ya buk". Begitu ana melayani dan meladeni mereka. Hati puas. Walau sedikit sumbangan dari JIM tapi amat bermakna buat mereka.

Hasil Jahitan Pengungsi

Model tudung yg telah siap

6.00pm
Oleh kerana sore telah tiba, lawatan melihat projek mesin jahit ditangguhkan ke keesokan hari. Kami meneruskan agenda yang telah disusun iaitu rapat bersama mahasiswa Unsyiah dan IAIN (Institut Agama Islam Negeri). 11 ikhwah dan 9 akhawat mahasiswa hadir pada malam tersebut.

Wajah pemuda. Belia. Halaqah sebegini memang ana nanti-nantikan. Melihat wajah pemuda sebegini hati menjadi muda sentiasa. Semangatpun muda. Terasa umur awal 20an walaupun sekarang telah menjangkau seabad ke depan.

Pertemuan dimulakan dengan taaruf. Bermula dengan ahli misi 7,langsung kepada mahasiswa. Seperti biasa kalau sesi taaruf, ikhwah akan menggunakan kod pengenalan. Di kalangan ahli misi ini ada kod yang agak ganjil. Selalunya kod pengenalan ini memecahkan keseriusan dalam satu-satu perjumpaan. Menceriakan majlis dengan tawa.

Mahasiswa yang hadir dalam rapat kami

Ketua KAMMI Aceh bernama Junaidi. Gelarannya Jundi. Wah, macam JunduLLAh. Sebelum ini ketua mereka Zulfikar. Zulfikar datang agak lewat. Sedang kami taaruf beliau sampai. Kebetulan ketika beliau sedang duduk, teman disebelahnya baru selesai taaruf. Beliau lantas menyambung dan mengalukan-alukan kedatangan kami dan mula membuka perbincangan. Ahli halaqah mula mengukir senyuman sehingga Zulfikar terasa hairan. “Kami sedang taaruf” bilang salah seorang rakan beliau. Maka derai tawa pun pecah.

Waktu petang telah agak suntuk. Sedang rapat azan berkumandang. Ikhwah solat di Masjid. Akhawat solat di rumah para mahasiswi. Baru ana tahu memang mereka ada markas atau rumah jamaah seperti akhawat di UKM. Inilah peluang yang ana cari dan nanti-nantikan. Selesai solat kami sambung rapat. Sebelum itu ana memberitahu hasrat mahu menginap di rumah mereka sebelum pulang. Bagai pucuk di cita ulam mendatang, saranan ana disambut penuh gembira. "Jangan lupa ya Kak Misah. Nginap di sini. Kita MABIT bersma ya. Kami tunggu."

8.30pm
Rapat diteruskan. Mahasiswa mangsa tsunami telah dapat pembelaan. Mereka diberikan yuran gratis sehingga tamat kuliah. Bagi Unsyiah dan juga IAIN. Zulfikar menerangkan kepada kami. Wah, ini sudah bangus getus hati ana. “Kami demo untuk mendapatkan hak ini”, dengan penuh semangat Zulfikar memberi tahu kami. Alhamdulillah. Tinggi sekali semangat perjuangan mereka. Pantang ada ketidakpuasaan. Demo aja. Gabenor Aceh pun bisa di penjara 15 tahun kerana korupsi. Semasa dalam kenderaan Marlizal bicara “kami tu kak misah sama-sama demo untuk jatuhkan Gabenor Aceh”. Ana hanya mampu mengeluarkan kata “masyaAllah..hebat mahasiswa Aceh ni ya”. Dalam hati teringatkan keadaan di Malaysia. “Malaysia bisa berjaya kalau nasyidnya diubah”. Itu komen Ustaz Yassir. Ana tak ingat siapa yang memberitahu.

10.00pm
Setelah selesai rapat misi memutuskan untuk menyumbang dana. 13 juta rupiah diserahkan bagi membantu mereka membeli komputer.

Sewaktu pulang kami singgah di IKADI (Ikatan Daie Indonesia). IKADI masih di bawah KKI. Punyanya PKS tapi dalam bentuk NGO. Kami dapatkan data-data kristianisasi kerana mereka pakar dalam bab ini. IKADI membuat aktiviti “Tebaran 1000 Daie” di barak-barak untuk memantau kristianisasi. Oleh kerana malam semakin larut. Kami memesan sahaja keperluan data dan akan diserahkan sebelum pulang ke Malaysia.


12.00am

Kami sampai di DA3. Anak-anak kecil sudah tidur. Anak-anak yang besar masih menunggu kami pulang. Sayang sekali tidak dapat bersama mereka seharian. Tugasan harus diselesaikan kerana esok 3 orang ikhwah akan ke Meulaboh.

Kepenatan menggigit tubuh. Oleh kerana semua sudah lena dan anak-anak yang menunggu kami tadi beransur ke kamar, kami pun mencari ‘parking’ masing-masing untuk merehatkan jasad bagi meneruskan aktiviti esok hari...


Bersambung...

Monday, August 25, 2008

Bingkisan Kasih Aceh 1

13 Agustus 2005

11.00am
Pesawat Adamair mendarat di bandara Banda Aceh. Suasana agak lengang. Namun terdapat beberapa orang polisi sedang berkawal di sekitar ruang legar bandara berkenaan. Ketika ini pihak berwajib agak berjaga-jaga kerana 15 Agustus perjanjian damai akan ditandatangani antara GAM dan TNI di Helinski, Aceh.

Ahli Misi 7 agak termanggu kerana tiada seorangpun yang menunggu kami di bandara tersebut. Lantas Ketua misi, Selamat Aliman terus menghubungi Ustaz Razali ketua KKI di Aceh. Dikabarkan berlaku sedikit salah faham kerana mereka menjangkakan misi 7 akan sampai waktu petang di bandara. Jadi kami menunggu saja kedatangan ustaz Irawan.

Sedang asyik menunggu sambil berbincang serba sedikit tentang tugasan misi 7, sampai sebuah land crusier. Lantas seorang lelaki yang berbadan tegap tanpa sehelai rambut di kepalanya, menyapa kami. “mahu ke mana pak? Ayuh naik mobil”. Ana terus meluru ke arah mobil. Namun terhenti seketika kerana was-was. Terasa dihati.. "ini bukan ikhwah PKS ni". Cara dan lagaknya agak kasar dan tak mungkin itu ikhwah PKS. Ana mundur ke belakang semula dan menasihatkan agar ikhwah tdak melayani lelaki ini. Alhamdulillah sejurus itu ustaz Irawan menyusul di belakang land crusier tersebut. Hati terus melonjak gembira kerana terlepas dari kerenah rakyat tempatan yang suka memeras kedatangan orang asing.

Namun bukan land crusier yang menanti kami seperti biasa tapi sebuah lori atau ‘pick up’. Apalagi.. ikhwah seperti biasa akan memastikan akhawat akan mendapat tempat yang selesa. Jadi dua orang akhawat berada di hadapan berhampiran pemandu. Manakala ikhwah di belakang bersama tempat barang-barang : open air.




Pick Up yang menunggu kedatangan kami

Kami terus dibawa makan tengahari di sebelah pejabat lama KKI. Pejabat tersebut sekarang telah berpindah ke KM 5, Kacamatan Ingin Jaya. Sebagai orang yang baru sampai di Aceh, Wan Zukri dan Abd Rashid, terus pekena mee Aceh. Wah berselera sekali! Selesai makan kami terus ke pejabat KKI yang baru.


1.45pm
Pejabat yang baru dihadapannya surau. Pejabat lama sebelum ni pun di sebelahnya surau. Ana rasa mereka memang sengaja mencari pejabat yang berhampiran dengan tempat solat. Pejabat KKI yang baru lebih besar dan luas. Bilik tetamu pun ada. Dengan penghawa dingin sekali.

Setelah selesai solat, kami terus rapat(mesyuarat). Objektif utama menyusun aktiviti agar segala tugasan dapat dilaksanakan dengan baik. Tambahan pula 3 orang ikhwah akan berangkat ke Meulaboh menggunakan pesawat udara. Bersama kami dalam rapat tersebut ialah Ustaz Ghufran (WAMY Indonesia), Ustaz Irawan, Ustaz Razali dan Said Iskandar.

Sesi rapat dimulakan dengan taaruf. Dalam sesi tersebut kami diperkenalkan dengan ustaz Ghufran yang selama ini berkhidmat di Sekolah ADNI di Malaysia. Beliau telah diarahkan pulang untuk menerajui WAMY di Indonesia setelah berada di Malaysia lebih sepuluh tahun. Begitulah tarbiyyah mereka. Saat ketika arahan dilakukan, akan segera dilaksanakan tanpa banyak soal.

Usai taaruf, kami mula menyusun gerak kerja sepanjang berada di Banda Aceh. Melihat kepada kekangan masa, kami bersetuju untuk memulakan aktiviti di Banda Aceh dengan pertemuan bersama mahasiswa Unsyiah(Universiti Syah Kuala) dan IAIN.

Pejabat WAMY-ACEH

3.00pm
Mesyuarat usai. Bagi mengisi waktu sore hari pertama kami di Banda Aceh, Ustaz Ghufran iaitu Presiden WAMY Indonesia (WAMY yang bakal dilancarkan), menawarkan kami mobil WAMY untuk membawa kami mengenali waqi’ di Ule Lhee . Ketika persiapan untuk berangkat, seorang pemuda belia bertanya, “siapa yang kak misah nya?”. Lantas ana pun menoleh ke arahnya dan berkata “ana kak misah”. “MasyaAllah..mengapa kak Hamisah tidak hubungi ana semasa sampai..”. banyak sekali ngomelannya dan persoalannya. Jelas sekali kekecewaaan yang tergambar di wajah anak muda ini.

Muda, begitu muda. Seperti adik-adik ikhwah karisma di Malaysia agaknya usia beliau. Namanya Donni. Orangnya tinggi lampai tapi berbadan tegap. Beliau merasa kecewa kerana gagal melaksanakan tugas memjemput kami. Bagi ana bukan gagal cuma salah maklumat. Namun bagi beliau, satu kegagalan kerana tidak menyempurnakan amanah yang telah diletakkan oleh ketuanya dalam menyambut rombongan dari Malaysia. Ada banyak yang tersirat dalam perbualan ana dengan anak muda ini. Namun yang nyata, melihat wajah dan lagaknya, lagi sekali ana teringat adik-adik ikhwah karisma di Malaysia.

Perjalanan kami menggunakan dua buah mobil. Ikhwah bersama Ustaz Ghufran dan Donni. Manakala ana dan maryam bersama dua orang lagi anak muda PKS. Kedua-duanya baru habis belajar. Aidil Azhar dan Marlizal. Umur mereka 23 tahun. Aidil mengurus bahagian kewangan dalam pengurusan anak-anak yatim. Manakala Marlizal pula membantu anak-anak yatim di bawah ustaz Yassir. Melihat kedua mereka ana kagum. Lantas lagi-lagi fikiran terus terbang teringatkan adik-adik sebaya mereka dalam karisma di Malaysia. Bagaimanakah adik-adikku di Malaysia?

Buat ana yang kali kedua ke Aceh, perjalanan ke Ule Lhee suatu yang biasa. Tidak seperti sebelumnya. Namun pemandangan kali ini ada perubahan. Kalau dulu dalam bulan Februari perjalanan kami agak sunyi. Tiada aktiviti. Amat jarang penduduk yang dijumpai. Yang ada hanya sisa runtuhan bangunan dan pemandangan yang menyedihkan, menggerunkan dan menginsafkan. Tapi kini penduduk telah semakin ramai berkeliaran dan melakukan aktiviti seperti biasa. Walaupun tidak kembali normal seperti sebelum tsunami namun sekurang-kurangnya suasana telah menjadi semakin hidup.


Sebahagian pemandangan ke Ule Lhee

Kami kembali ke Masjid Baiturrahim di Ule Lhee. Masjid yang terletak di tepi laut. Bangunan pertama menerima terjahan tsunami tapi masih kukuh. Kali ini masjid ini telah semakin pulih. Sedang diperbaiki. Di sebelah kanan masjid tersebut kelihatan sebuah feri agak besar. Terolang-aling dibuai alunan air laut. Feri ini digunakan sebagai pengangkutan untuk ke Pulau Sabang. Dulu tiada feri. Di situ juga telah terdiri sebuah pusat penapisan air kepunyaan bulan sabit merah Indonesia. Dulu bangunan itu tiada. Di kawasan itu dulu kosong dan sepi..Kami berkesempatan masuk ke kawasan penapisan air tersebut. Mengambil beberapa foto untuk dokumentasi.

Kawasan Penapisan Air

Sesekali angin menerpa keras. Menurut ikhwah PKS, angin di Aceh semakin kencang selepas tsunami. Mungkin dek kerana tanah yang tiada lagi pepohon menghalang hembusan-hembusan angin tersebut yang telah terang diragut tsunami beberapa bulan lepas. Beberapa minit berlegar di kawasan tersebut kami pun mula bergerak pulang. Dalam hayunan langkah yang kami atur lantas ustaz Ghufran berbicara, “Semua Bulan Sabit, punyanya ikhwah kecuali Malaysia”. Dalam senyuman lantas beliau meneruskan bicaranya, “semua WAMY punyanya ikhwah, kecuali di Malaysia..”. Mengapa? Ia.. ana tiada jawapan. Cuma hati terus dicuit rasa rendah diri dan malu..

Lawatan kami sampai ke Kapal Jana Elektrik di Punge Blancut. Kapal itu masih di situ tersergam gagah. Bagi yang pertama kali ke Aceh, pasti terasa sedikit kepuasan dgn lawatan tersebut. Ya, sudah pasti melihat sendiri kesan terjangan tsunami tidak sama dengan melihat foto.

Kapal Jana Elektrik asalnya berada Jauh di tengah laut..
6.00pm
Lawatan telah selesai. Perut mulai bernyanyi lagu keroncong untuk di isi. Hati pula terus digamit rindu, kapan bertemu anak-anak di Darul Aitam 3... Putri Pengasuh Aitam 3 telah diberitakan tentang kedatangan kami.. anak-anak dirumah menunggu untuk makan malam sekali. Aduh..gi mana ini? Donni bilang anak-anak enggak mahu makan. Mahu tunggu kak misah. Namun ikhwah sudahpun berada di salah sebuah restoran. Apakan daya. Donni meminta Putri memujuk anak-anak untuk makan dahulu.

Selesai makan, ana dan maryam terus dihantar ke Darul Aitam3. Sampai di Aitam tiga dah hampir manghrib. Sebaik anak sampai kelihatan anak-anak telah berada di luar rumah. Sebaik keluar dari mobil anak-anak mula menjerit..”kak misah...kak misah...” Aduh..begitulah anak-anak Aitam 3. Sampai di kaki tangga aku terus dipaut Desi. Pipiku dicium bertubi-tubi. Lepas Desi sudah pasti Wulan. Ya..pelukan mereka bergayutan enggak bisa dilepaskan. Semua anak-anak mengeremuni dan tidak melepaskan peluang memeluk dan mencium pipiku melepas rindu. Maryam yang baru sampai juga menerimakan sambutan yang sama. Agak lama juga melayani kerinduan masing-masing.



Anak-anak di Darul Aitam 3


8.00pm
Di luar angin menderu kencang. Lama kelamaan angin kencang disusuli dengan hujan. Semakin lama semakin lebat. Setelah selesai solat, kami terus menunggu ikhwah untuk bertemu mahasiswa. Namun dengan cuaca yang tidak mengizinkan ditambah pula mahasiswa sendiri tidak berkelapangan, malam pertama di Aceh diisi dengan istirehat untuk berhadapan dengan aktiviti esoknya. Ustaz Yassir mampir ke Aitam 3 menyampaikan berita pembatalan rancangan tersebut. Khabar beliau “ikhwah sedang lena di KKI… pertemuan yang dirancangkan dibatalkan”. Lantas kami pun bersama anak-anak Aitam 3 melayari malam yang semakin pekat dan hujan yang semakin lebat. Sebelum masuk ke kamar masing-masing anak-anak mula merayu.. “kak di bilik kami.. kak di bilik kami.....” entah jam berapa kami terlena. Namun yang pasti..kami tidur lena bersama kesesakan anak-anak yatim di Darul Aitam 3...



Bersambung...

Sunday, August 24, 2008

Bingkisan Kasih Aceh - Prolog

Alhamdulillah, Misi JIM Kasih Aceh ke 7 telah pun selamat tiba di Aceh, menjalankan aktiviti, mencapai misi dan telahpun kembali ke tanah air.

Secara peribadi, pengalaman dan dapatan misi kali ini ana rasakan amat berlainan sekali dengan pengalaman pertama kali ke Aceh pasca tsunami. Dari segi pengangkutan, layanan, pemandu, ukhuwwah.. semuanya berbeza sekali. Paling menarik kali ini rasa puas bukan sekadar dpt bersama anak-anak Aitam 3, bahkan anak-anak di Pesantren Dayah Darul Hijrah dan juga dapat bermuayasyah dgn akhawat mahasiswa di Aceh, berkongsi rasa, emosi dan pengalaman mahasiswa di Aceh dan Malaysia.

Kebetulan pula kali ini pemandu mobil bukan Pak Abu. Banyak hikmahnya. Apatah lagi pemandu kami (akhawat) adalah ikhwah yan masih belajar dan baru bergraduat. Sudah pasti ini pengalaman manis kerana mereka itu seolah-olah adik2 seperti karisma di Malaysia. Kesempatan berdiskusi, bertukar pandangan amat-amat dihargai.

Dalam konteks projek JIM International, sudah pasti antara tugasan penting ialah audit projek di Aceh. Alhamdulillah, nampaknya sumbagan kita telahpun membuahkan hasil. Bak kata Pak Munajjin dalam perbualannya dengan Pak Selamat..."Sumbangan kami sedikit aja.." bilang Pak Selamat sambil tersenyum". Dengan wajah penuh ceria Pak Munajjin membalas "Sedikit pun terasa kemanisannya.."

Cukup indah.... Apa yang kita sumbangkan adalah saham untuk kita di akhirat insyaAllah. Kini sebahagian kecil rakyat Aceh menuai hasil daripada sumbangan kita. Semoga kita pula akan menuai hasil di akhirat kelak.

Kini Aceh sedang membangun. Bersama Islam membina masyarakat. Membentuk negara Aceh yang adil dan sejahtera. Moga kita akan menjadi sebahagian daripada mereka, yang mempunyai saham dalam menegakkan syiar Islam di nusantara.

Nantikan coretan Misi 7 "Bingkisan Dari Aceh"

SHM
JIM KKI Kasih Aceh - 07/2005

Wednesday, August 20, 2008

Wajah-Wajah Penuh Kisah

(Pengasuh di Rumah Anak Yatim di Aceh)
Wajah-Wajah Penuh Kisah

kutemui rekah senyuman yang pasrah
tenang wajah tanpa resah
jiwa padu yang tega
walau hati luluh kepergian keluarga
kau masih mampu melayani
anak yatim yang diberkati

Kau miliki akhlak terpuji
semangat pengorbanan sukar ditandingi
dalam kekosongan harta dunia
kau longgokkan jiwa nurani
yang kaya kasih sejati
menyantuni menyentuhi
anak yatim Aceh
yang tiada keluarga di sisi

Lukamu tiada tara
namun siapakah yang membela
untuk kau mencurah rasa
dukamu kau simpan jua
demi anak yatim Aceh
kau lenyapkan rintihan lara...

Tega kau berdiri
wahai serikandi sejati
melentur jiwa suci murni
anak Aceh yang masih belum mengerti..
semangat dan pengorbananmu
jiwamu dan imanmu
menempiaskan pengajaran buatku..

pada wajah-wajah penuh kisah....
aku belajar erti sebenar pasrah...

-Ummu Anis 2006-

Sajak Anak Aceh

(sajak pada kulit belakang majalah Perspektif JIM)
Sajak ini juga telah dideklamasikan oleh Jalaluddin Hassan
ketika Hi Tea Kasih Aceh di Johor tahun 2006.
Sajak ini juga telah dideklamasikan di Pasentren Dayah Darul Hijrah
di Aceh oleh penulis sendiri.
Anak Aceh..
saat kami tiba
matamu sinar berkaca
diwajahmu terpancar cahaya
"Kakak mahu tinggal di sini ya?"
tersentak aku seketika
suara hatimu sukar diduga

Indah sungguh pertemuan itu
riak mukamu terserlah ceria
kemurungan dan dukamu
tidak kau nyata
Ya Allah...
betapa hebatnya anak Aceh
mereka pasrah mereka redha
ketentuanmu mereka terima
"inikan kehendak Allah..
dia sayang mak dan ayah...kan kakak?"
apa lagi yang harus ku bicara
lancar tutur kata anak Aceh ini
walau usia baru mencecah darjah tiga
aku terpaku melihat diri... malu sendiri...

Pemusafiran kami meniti hari
dalam masa yang singkat
hati-hati kami telah Kau ikat
kasih kami
berputik bersemi... di sini

Anak Aceh
kini tiba ketika
saat kami melangkah pergi
tubuhku kau dakap erat
air matamu tak bisa kau sekat
lalu..esak syahdumu mengiringi langkah kami..
"kak...kapan datang lagi ke sini?..."
aduh...sayu suaramu menghiris hati...

anak-anak melambai longlai
manik-manik dipipimu..
jatuh berjurai..
kau seka satu.. persatu..
pemergian kami kau iringi sendu
hati kami jua terpalit pilu..

Wahai anak Aceh..
doakan kami untuk kembali ke sini
meneruskan silaturrahim..
menabur budi menyemai bakti
moga kau terus sudi
menerima sumbangan kerdil dari kami..

Ya.. Allah
mereka telah kau uji
ternyata padunya ketabahan hati
agaknya...bagaimana kami di sini?
mungkin ia juga ujian buat kami
utk kau nilai erti ukhuwwah sejati
melalui badai bernama Tsunami..

kami mohon padaMu Ialhi
moga kami insan terpilih
meladeni anak yatim Aceh...
yang dahaga menagih kasih...

SHM
7 Jun 2005
6.00pm

Monday, August 18, 2008

Bingkisan Kasih Aceh

Klip Video Kasih Aceh

Rasa ingin berkongsi semula pengalaman Misi bantuan JIM pasca Tsunami di Aceh. Klip Video ini diterbitkan oleh JIMedia. Tayangan Perdana dilakukan ketika Hi Tea KAsih Aceh. Azahari Abdul Kadir telah menjadi pengarah kepada Hi Tea ini. Alhamdulillah Hi Tea ini berjaya mengumpulkan dana hampir RM100,000. Dana ini telah di salurkan kepada Komiti Kemanusia Indonesia di bawah penyelenggaraan Partai Keadilan Sejahtera (PKS).

Nantikan Bingkisan Kasih Aceh.. coretan pengalaman ketika di Aceh bersama TEAM ke 7 Misi Kasih Aceh

Tuesday, March 11, 2008

PEMUDI SRIKANDI

Pemudi..
dalam kelembutan kau warisi kecekalan
dalam kemanjaan kau miliki ketegasan
dalam ketidaksempurnaan kau adalah pelengkap
jika tidak...masakan kau digelar
tangan menghayun buaian bisa menggoncang dunia.

Pemudi..
dibahumu tersandar harapan tinggi
dari tubuhmu lahir pewaris generasi
untuk kau didik menjadi insan rabbani
untuk mendukung sunnah nabi
menegakkan risalah deen ilahi

Pemudi...
kau insan hebat
kaulah suri kaulah serikandi
menabur bakti tidak mengira masa
menyantuni insan di mana-mana jua…
di rumah…. kaulah ratu sang suami dan anak-anak menagih khidmat
di tempat kerja… kau dilihat memberi manfaat
dalam masyarakat… kaulah serikandi pembina/pembela umat

AYUH pemudi..
Serlahkanlah potensi diri
Bakat dan semangat belum cukup dipergunakan lagi
Usah ditunggu usah dinanti
kerana masa kita setiap detik berlalu pergi
takkan berulang lagi…

Wahai PEMUDI.. Serikandi waja
Mari ingat pesanan Ketua Wanita Kita..
Sebelum nadi hilang rentaknya
Mari realisasikan bersama
Pesanan keramat pesanan jihad…

THIS UMMAH NEED YOU!

Tuesday, March 4, 2008

Negara Apakah Ini?

Negara apakah ini?
Yang sedang berkuasa bukan lagi sekadar GILA KUASA
Tapi sedang MENGGILA untuk terus BERKUASA

Negara apakah ini?
Demokrasi yang dianuti mereka
Namun demokrasi itu pula yang DICABULI

Negara apakah ini?
kehakiman tidak lagi dapat mengADILI
Suruhanjaya yang bebas sudah hilang asas

Negara apakah ini?
Parlimen dibubar namun kuasa mereka masih menggila
Jentera negara dilacur semahunya

Negara apakah ini?
Satu pihak bersuara bermaharajalela
diTV, Surat Khabar diperlaku seperti empunya
membela, mengutuk, mengancam, mendabik dada

Negara apakah ini?
Kepelbagaian parti dinafi
Parti pelbagai disepak, ditendang, dibuli
Parti pelbagai dibuta tulikan dari rakyat

Negara apakah ini?
Mereka berpencak dimedan pilhanraya
Kononnya demokrasi prinsip ‘kami’
Tapi mereka berpencak memegang pelbagai senjata
Sedang lawannya terikat anggota

Negara apakah ini?
Adakah sinonim dapat kita perhalusi
Ibarat perjuangan Hamas menentang Yahudi???

Wallahu’alam

Monday, March 3, 2008

Buat diriku yang dikasihi..

Untuk diriku seorang isteri..
Carilah keistimewaan yang terselindung dibalik dirimu
Kerna keistimewaanmu itu ada tempat tersendiri dihati sang suami…
Jangan kau endahkan keistimewaan milik orang lain
Kerna ianya anugerah Ilahi yang layak Ianya berikan sesuka hati
Mencemburuinya hanya akan membuahkan hasat dengki dan iri
Natijahnya... hanya akan memakan diri...

Wahai diri...
Syukuri apa yang kau miliki
Perbaiki sifat diri
Kerna kelak kau akan lebih rasa izzah diri
Kasih sucimu ayuhlah tanpa sempadan diberi
Kerna kelak kau akan menerima kasih kembali
Kerana itu janji Ilahi...

Kau lihatlah apa yang kau miliki
Jangan persoal apa yang tidak diberi
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengadili
Tak perlu kau persoal tak perlu kau tangisi
Kerana yang terbaik untukmu dalam pengetahuan Ilahi

Hidupmu ini penuh erti
Andai kau temui matlamat hakiki
Nikmatilah sekadar yang diberi
Agar ketenangan milikmu abadi.....

Untukmu suami...
Ku curahkan kasih sejati
Ku semaikan cinta nan murni
Ku belajar untuk mengerti
Kerna perkongsian kasih ini
Memerlukan pengertian dan pengorbanan nan suci

Kau hadir ditakdir Ilahi
Sungguh kasih sayangmu bernilai tinggi
Kau curahkan buatku tanpa sempadan lagi
Cuma terkadang diriku belum benar mengerti
Kerna mentahnya daku berada dibahtera mahligai kita nan suci

Untukmu suamiku sayang...
Kesabaranmu tahan diuji
Kelembutanmu membuai diri
Ketegasanmu melentur budi
Belaianmu... meluluhkan hatiku yang bergelar isteri...

Kupohon padamu Ilahi
Pimpinlah daku dalam mengharungi kehidupan ini
Jadikan daku isteri solehah buatnya sang suami...
Agar dapat dipertemukan lagi dua hati ini di syurga abadi...

Sesungguhnya dirimu suami...
Adalah takdir anugerah Allah
Untuk menerangi hidupku ini....
Terima kasih Ilahi..
Terima kasih untukmu suami

Wednesday, February 27, 2008

Bukan Sekadar Ilusi

Untuk mereka yang berpoligami

Dalam kedukaan ada kemanisan
Dalam tangisan ada keriangan
Dalam kesepian ada kasih sayang
Dalam keseorangan ada berteman
Dalam kecemburuan ada keindahan
Dalam kekalutan masa masih ada tempat bermanja
Dalam keresahan ada tempat mengadu rasa
Yang paling bermakna...
Diberi anugerah cahaya mata

....... Laut mana yang tidak bergelora melainkan laut mati
Pun begitu selembut mana angin yang menyapa
Riaknya beralun walau tak tinggi..
Begitulah rumahtangga pelbagai dimensi ini

Kesimpulan : Jika kita memandang positif, insyaAllah poligami memberikan alternatif terbaik bagi yang masih belum bertemu jodoh dalam usia yg semakin menginjak waktu. Namun masyarakat di luar perlu memberi sokongan dan bantuan yang bersesuai......

Kepada sahabatku dengar-dengarkanlah gurindam jiwaku ini...

Andai ada bara jangan dimarakkan menjadi api
Andai ada api jangan dicurahkan minyak kelak membakari
Andai ada keresahan belai dengan hati-hati
Andai ada prasangka matikan agar tak menjalari
Andai ada kelemahan bersama membantu memperbaiki
Andai ada ehsan hulurkan dengan membina kesatuan
Bukan mengeruhkan lagi hubungan
Andai ada rasa simpati dan ukhuwwah sejati....
Andai iman dan taqwa masih memasak diri....
Usah biarkan saudaramu lemas dengan persepsi poligami
Usah biarkan saudaramu tewas dengan nafsu nafsi
Kerana dia akhawat dan aku jua ukhtie
Dua-dua perlu dikasihani perlu diladeni
Agar dua bahtera satu nakhoda ini...
Berlabuh ke destinasi ditujui.......



Ummu Anis
Greenwood Indah

Wednesday, February 20, 2008

Anak Belajar dari Kehidupan Kita

Jika anak diajarkan dengan celaan,
ia belajar mencela

Jika anak diajarkan dengan permusuhan,
ia belajar berkelahi

Jika anak diajarkan dengan ketakutan,
ia belajar gelisah

Jika anak diajarkan dengan rasa hiba,
ia belajar menyesah diri

Jika anak diajarkan dengan olok-olok,
ia belajar rendah diri

Jika anak diajarkan dengan iri hati,
ia belajar kedengkian

Jika anak diajarkan dengan permalukan,
ia belajar merasa bersalah

Jika anak diajarkan dengan dorongan,
ia belajar percaya diri

Jika anak diajarkan dengan toleransi,
ia belajar menahan diri

Jika anak diajarkan dengan pujian,
ia belajar menghargai

Jika anak diajarkan dengan penerimaan,
ia belajar mencintai

Jika anak diajarkan dengan dukungan,
ia belajar menyenangi diri

Jika anak diajarkan dengan berbagi rasa,
ia belajar dermawan

Jika anak diajarkan dengan kejujuran dan keterbukaan...
Ia belajar kebenaran dan keadilan...

(Kata-kata di mural Tadika Islam Terpadu (TKIT), Yayasan Haroen Ali, Aceh)

----
SHM
Misi JIM Kasih Aceh 3
1 Mac 2005

Meniti Kala

Meniti kala
setiap detik masa begitu berharga
umur semakin menginjak menuju destinasi
kapan waktunya nafas ini akan terhenti...
Sahabat rakan taulan ada yang mendahului..
aahh.. adakah cukup persiapan diri?
bagaimana kesudahanku nanti?

Meniti kala
setiap jiwa punyai rona kehidupan berbeza
yang diuji pasti punyai kekuatan tersendiri
kukutip menjadi pedoman menyubur laman rohani..

Ummu Anis

Berkongsi dengan khalayak, atau Tuhan?

Khalayak Atau Tuhan?
Coretan ini untuk Tuhan
Bacaan oleh khalayak
Yang mungkin berkongsi satu naluri
Bahawa hidup ini perlukan satu tali
Menuju kepada-Nya

Dan tali itu
Dipegang
Bersama rakan seperjuangan
Bukan berseorangan
Kerana tidak mungkin hujungnya
Dipegang oleh individu yang sedang berpapasan
Mengharung onak denai
Penuh cabaran

Atau patutkah yang melaluinya buat-buat lupa
Dan teruska kerja di sebelah sana
Tanpa menghiraukan tali itu terikat
Atau terurai menanti lerai?

Sajak ini dari sumber :
Posted at 01:09 am by benarbenar

Tuesday, February 19, 2008

Mungkinkah kerana diri biasa dengan perhatian?

Cuba fikirkan
Mungkinkah kerana diri sentiasa bermanja dengan perhatian
Dan kemasyhuran
Sehingga payah untuk menerima hakikat
Bahawa dunia ini penuh dengan 'proof and you will be with us'?

Kalau begitu, perlulah diri ini terus hidup mandiri
Tapi yang pasti
Ada individu yang terseksa dengan sistem ini
Kerana biar apapun
Abu Sufyan diberi peluang oleh Rasulullah
Ketika Fathu Mekah

Posted at 01:03 am by benarbenar

 
template by suckmylolly.com